Kebaikan Malu Yang Anda Perlu Tahu [ Hot !!! ]

MALU
Apabila seorang wanita seorang yang menjaga budi bicara, tingkahlaku serta menjaga sifat malunya. Maka, dia akan dikatakan sebagai perempuan yang baik. Manakala apabila seorang lelaki mempunyai sifat malu yang tebal, seorang yang sentiasa menjaga akhlaknya, menjaga agamanya, menjaga lidahnya, maka dia akan diminati dalam diam oleh ramai wanita.
Situasinya begini,
Seorang hamba ALLAH berpakaian menjolok mata. Skirt singkat sana sini seperti tiada apa yang hendak ditutupi, baju dan seluar ketat, tampak si pemakainya seperti tidak selesa untuk bernafas dengan bebas. Tetapi gembira memperagakan pakaian adik mereka. Melompat ke atas ke bawah, memekik dengan suara yang tidak dapat dibezakan antara lelaki dan perempuan. Dan kelihatan pula seorang hamba ALLAH yang berpakaian menutup aurat. Rambut terjaga daripada ditatapi oleh ajnabi. Pakaian dilonggarkan agar tidak mencuri perhatian mata-mata yang tidak sepatutnya. Jalannya tertunduk, malu mendindingi diri.
Dua hamba ALLAH di atas, apakah perbezaannya? Malu dan Nafsu?
Melihat arus pembangunan hari ini, sama juga seperti melihat arus kerosakan akhlak anak-anak remaja, remaja Islam khususnya. Antara lelaki dan perempuan, sukar untuk dicari dimanakah sifat-sifat malu dalam diri telah diletakkan. Adakah telah dibuang jauh ke dasar kemaksiatan? MashaAllah.
Malu Itu Pendinding Diri
Sifat malu ialah salah satu sifat yang mulia lagi terpuji. Sifat ini bagaikan suatu dinding atau pagar yang membatasi seseorang untuk melakukan kejahatan mahupun kemaksiatan. Orang-orang yang memiliki sifat malu ini akan terjaga olehnya untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Hatta tidak dilihat oleh seorang manusia pun akan kejahatan yang terlintas difikirannya, tetapi dia yakin bahawa ALLAh sentiasa memerhatikannya tidak lepas pandangan-Nya walau sesaat pun.
Malu kepada ALLAh, Rasulullah, kepada diri sendiri, kepada malaikat yang 24 jam berada di kanan dan kiri kita. Malu untuk melihat kemungkaran, malu untuk memulakan keburukan, malu untuk menyebarkan kesalahfahaman orang lain terhadap Islam dan malu kepada kaum muslimin dan muslimat!
Dengan perasaan malu yang tebal dalam diri inilah, seorang Muslim itu tidak tegah melakukan kemungkaran. Dimana mereka sentiasa mengawal tingkahlaku untuk menonjolkan yang terbaik kepada semua orang. Plastik? Apa? Mengawal tingkahlaku itu adalah suatu perbuatan plastik? Kawan, perlu kita sedari.. Mendidik diri itu adalah memplastikkan diri sendiri lalu membekukannya dan akan kekal seperti itu untuk kegunaan atau kebaikan kepada agama.
Tempoh mendidik diri adalah memplastikkan diri sendiri. Sabda Rasulullah,
“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Keringnya Perasaan Malu
Tiada perasaan malu kepada ALLAH dan seluruh alam akan meringankan seseorang itu melakukan kemungkaran dan akan terus berada dalam keadaan gembira dengan keadaan seperti itu. Ikhtilat antara lelaki dan wanita sudah menjadi biasa tanpa merasa janggal. Mereka berterusan tergamak melakukan larang-larangan ALLAH SWT. Semuanya didedahkan ke sana ke mari. Malah, sampai satu masa, beraksi di pentas dunia tanpa seutas benang pun tidak menjadi suatu yang ‘luar biasa’ kepada orang-orang yang sudah kering perasaan malu. Hal ini memang bertepatan dengan sabda Baginda :
“Jika engkau tidak rasa malu, maka buatlah apa saja yang engkau mahu.” [Hadis riwayat Abu Daud dan Bukhari]
Jika manusia sudah tidak punya perasaan malu, maka segala perbuatan yang memalukan sudah tidak menjadi sesuatu yang memalukan dan mengaibkan. Sungguh! Tidak percaya sebenarnya ada orang macam ini jika tidak pernah terjumpa. Gila atau kurang waras itu adalah lain ceritanya berbanding orang yang waras tapi buat-buat tak waras dengan melakukakn segala perbuatan yang melanggar norma-norma kemanusiaan.
“Sesungguhnya Allah jika ingin menghancurkan seseorang, Ia akan mencabut rasa malu dari dirinya. Apabila rasa malu itu dicabut (daripadanya), maka engkau akan menemuinya sebagai seorang yang dibenci dan menjijikkan.” [Hadis riwayat Ibn Majah]
Astaghfirullah.
Malu Juga Harus Bertempat
Menyebut perihal malu, perlu juga kita fahami malu dalam berbuat apa. Islam mengajar kita untuk berasa malu melihat dan melakukan kemungkaran. Berasa malu mencetuskan fitnah kepada Islam. Tetapi Islam tidak mengajar ummatnya untuk berasa malu membela agamanya. Ada sebahagian orang meletakkan rasa malu itu tidak mengira tempat dan keperluan.
Apabila maruahmu telah dipijak-pijak. Apakah kau masih merasa malu untuk membela diri? Juga ada orang yang malu untuk melakukan kebaikan. Malu bersedekah, malu menutup aurat, malu memberi salam kepada orang lain. Aih. Ganjil sungguh perangai sebegini. Malu kepada sesuatu yang baik, sedangkan Islam mengajar kita agar meletakkan malu mengikut kesesuaian keadaan.
Kesimpulannya, malu kepada kejahatan itu adalah sebuah benteng atau tembok atau perisai yang akan mencegah seseorang itu melakukan kemungkaran manakala malu melakukan kebaikan itu adalah satu perasaan malu yang hanya akan mengundang kemurkaan ALLAh dan menjahannamkan diri sendiri ke dalam kegelapan.

1 comments:

nuriz said...

malu kena bertempat, stuju tu

Post a Comment